fbpx

SELERA@Wilayah bantu rakyat berjimat dan jana pendapatan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Makanan yang telah siap dimasak kemudian akan dijual dengan menggunakan trak di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur.

PENINGKATAN kos sara hidup kini menyaksikan ramai di antara kita sebolehnya memilih untuk berjimat dalam menguruskan perbelanjaan harian.

Pelbagai inisiatif pihak Kerajaan perkenalkan bagi membantu rakyat mendepani situasi ekonomi semasa.

Kegawatan ekonomi yang melanda ini bukan sahaja berlaku di negara kita, malah seluruh dunia turut terjejas.

Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) juga sentiasa mencari inisiatif yang paling relevan untuk memastikan rakyat Wilayah Persekutuan dapat menikmati kehidupan yang selesa dan sejahtera.

Program SELERA@Wilayah adalah inisiatif terbaharu yang bakal diperkenalkan yang membawa konsep ‘mengembalikan semula kepada masyarakat’.

Program ini adalah program di mana sajian makanan tengah hari bernutrisi dijual pada harga RM5 sebungkus yang disasarkan kepada golongan B40 di kawasan tumpuan.

Program ini dilaksanakan oleh JWP bersama syarikat Resipi Rumah Nenek Sdn. Bhd., yang turut mengendalikan jualan melalui trak MYGrocer@Wilayah.

Barangan mentah yang tidak habis dijual melalui trak MYGrocer@Wilayah ini akan dihantar ke dua buah Central Kitchen (dapur berpusat) yang beroperasi di kawasan PPR (Program Perumahan Rakyat) Seri Sabah 3A dan PPR Seri Kota untuk menyediakan makanan dimasak bagi jualan semula Menu Rahmah ini.

Nuraiman

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Resipi Rumah Nenek, Nuraiman Amirul, dari situ sebenarnya wujud konsep rantaian nilai, yang mana inisiatif tersebut dapat membantu mengurangkan pembaziran barangan basah dan keperluan harian yang tidak terjual melalui trak MYGrocer@Wilayah.

Malah menurutnya, melalui pelaksanaan SELERA@Wilayah ia bukan hanya dapat berkongsi rezeki, malah dapat dapat membantu suri-suri rumah untuk menjana pendapatan.

“Seramai 13 suri rumah di kedua-kedua perumahan ini bertanggungjawab untuk menyediakan sajian tengah hari dan mereka akan menghasilkan antara 300 hingga 400 bungkus makanan sehari untuk dijual.

“Tugas mereka hanya perlu memasak sahaja dan kami akan membayar upah sebanyak RM50 sehari untuk tempoh kerja antara empat hingga lima jam,” terangnya.

Sementara itu, salah seorang suri rumah terlibat, Juliana Dahalan, 36, bersyukur kerana diberi peluang untuk menjana pendapatan buat keluarganya melalui pelaksanaan SELERA@Wilayah.

“Saya menjadi sebahagian daripada tukang masak di SELERA@Wilayah dan rutin kami memasak bermula pada jam 5 pagi dan beralhir sekitar 10 pagi dan makanan yang telah dimasak akan diambil oleh pihak SELERA@Wilayah untuk dijual.

“Saya bersyukur kerana mendapat peluang ini kerana ia dapat membantu saya menjana pendapatan dan sekali gus boleh membantu dan meringankan beban suami,” katanya yang tinggal di Perumahan Awam Sri Sabah 3A, Kuala Lumpur.

Tambah Juliana, setelah melahirkan anak, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Malah kini, pendapatan yang diterima melalui SELERA@Wilayah ini juga berbaloi dengan jumlah jam bekerja dan apa yang penting saya masih mempunyai masa untuk menjaga anak dan menguruskan keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, makanan-makanan yang telah siap dimasak itu akan diambil menggunakan trak makanan SELERA@Wilayah dan kemudian akan dijual di beberapa  lokasi yang telah ditetapkan di Kuala Lumpur.

Makanan yang telah siap dimasak akan dijual melalui SELERA@Wilayah di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur.

Antara lokasi penjualan termasuk di Kolej Universiti Poly-Tech Mara, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur, Ibu Pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Kuala Lumpur dan lain-lain.

Sementara itu, Siti Yusrini Aliyas yang merupakan salah seorang pelanggan SELERA@Wilayah berkata, sajian makanan tengah hari ditawarkan pada harga amat berpatutan dan rasanya juga sedap.

“Biasanya untuk makan tengah hari di tempat lain, minimum harga yang dikenakan adalah sekitar RM10 hingga RM12.

“Sukar untuk mencari sajian yang berharga serendah RM5 ini, sangat berbaloi dan saya harap ia akan terus beroperasi kerana dapat membantu rakyat untuk berjimat,” jelasnya.

Warga kota kini boleh mendapatkan makanan pada harga terbaik melalui pelaksanaan SELERA@Wilayah ini yang dilihat mampu memberikan impak positif kepada perniagaan makanan dan minuman di sekitar Kuala Lumpur melalui persaingan kompetitif antara peniaga untuk memberikan produk dan nilai terbaik buat pembeli. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI