fbpx

Amanah pecat ahli jadi calon, penyokong, pencadang tanpa kebenaran parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Hatta.

PETALING JAYA – Parti Amanah Negara (Amanah) telah melucutkan keahlian serta-merta ahlinya yang telah hadir ke penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) tanpa kebenaran parti.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Mohd. Hatta Md Ramli berkata, tindakan tersebut termasuk kepada mereka yang menjadi calon, pencadang dan penyokong tanpa sebarang kebenaran daripada parti tersebut.

“Amanah mendapat makluman terdapat ahli-ahli parti ini yang telah bertindak hadir ke penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) ke-15 di enam negeri sebagai calon, pencadang dan penyokong tanpa kebenaran Parti.

“Berdasarkan Fasal 6 Perlembagaan Parti Amanah Negara (2022), tindakan tersebut menyebabkan mereka dilucutkan keahlian parti serta-merta,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hatta berkata, dalam pilihan raya kali ini, Amanah telah menghantar 31 nama untuk bertanding di bawah logo Pakatan Harapan (PH) dengan semangat Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, kerjasama itu semakin kukuh apabila rundingan dan agihan kerusi telah berjaya dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

“Objektif yang mahu dicapai dalam rundingan ini adalah memastikan tiada pertembungan berlaku di semua kerusi DUN yang ditandingi. Dalam mana-mana kerjasama dan rundingan, prinsip ‘menang-menang’ sentiasa menjadi keutamaan,” ujarnya.

Mohd Hatta menambah, bagi mencapai prinsip ini, sudah tentu setiap pihak yang terlibat perlu melakukan pengorbanan bagi memastikan kemenangan yang lebih besar dapat dicapai.

“Amanah berharap agar semua calon dan jentera dapat memberikan tumpuan untuk memastikan semua kerusi yang ditandingi dapat dimenangi,” jelasnya.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut jumlah atau mendedahkan siapa yang terlibat dalam pemecatan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI