fbpx

Agong, Raja Permaisuri sebak tonton pantomim Op Daulat Kampung Simunul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sebak ketika menonton pantomim Op Daulat Kampung Simunul di Dataran Pahlawan Negara, Putarajaya pagi tadi. Foto ihsan JABATAN PENERANGAN

PETALING JAYA – Suasana hiba mengiringi pementasan pantomim Op Daulat Kampung Simunul pada Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pagi tadi.

Lebih memilukan, perasaan tersebut turut dirasai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi beberapa keping gambar yang dikongsi di media sosial, kelihatan Seri Paduka Baginda tidak dapat menahan sebak semasa berkenan menyaksikan persembahan pantomim terbabit.

Seri Paduka Baginda berdua dilihat beberapa kali mengesat air mata ketika persembahan itu berlangsung.

Pantomim itu adalah hasil karya Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali.

Ia membawakan kisah tragedi hari kedua pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Simunul atau Kampung Air Simunul selepas serangan berlaku di Kampung Tanduo.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah berangkat ke Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan Negara.

Istiadat sambutan Hari Pahlawan anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkonsepkan perbarisan statik dengan pembabitan enam detasmen terdiri daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, pesara serta bekas anggota polis.

Acara dimulakan dengan lagu Negaraku yang diiringi 21 das tembakan meriam disempurnakan oleh anggota ATM diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Al-Sultan Abdullah.

Perbarisan Hari Pahlawan 2023 membabitkan 18 pegawai dan 652 anggota lain-lain pangkat daripada PDRM dan ATM yang diketuai oleh Superintendan Mohd Rezuan Juragan.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI