PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para perwira ATM dan PDRM atas jasa, khidmat serta bakti yang dicurahkan dalam melindungi kedaulatan serta menjaga keselamatan tanah air tercinta.
Jelas kenyataan itu, selaku Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyanjung tinggi serta merakamkan setinggi penghargaan atas pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memikul amanah menjaga keamanan negara.
“Sesungguhnya jerih perih mereka, para pejuang tanah air pada masa dahulu dan sekarang, adalah demi negara kita yang berdaulat.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para pahlawan dan perwira yang telah terkorban semasa bertugas,” jelasnya.
Pada masa sama kata Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga roh mereka yang beragama Islam dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama para solihin.-KOSMO! ONLINE