SHAH ALAM – Serangan penyakit jantung menjadi punca kematian Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Dr. Soberi Awang sewaktu menyampaikan kuliah subuh di Surau Al-Ittihadiyyah, Seksyen 9, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, perkara itu diketahui hasil bedah siasat dilakukan di Hospital Shah Alam (HSA).
Menurutnya, kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 7.45 pagi dengan mangsa yang juga pensyarah sebuah universiti di Nilai, Negeri Sembilan tersebut dilihat menahan kesakitan dan terus tidak sedarkan diri semasa menyampaikan kuliah tersebut.
“Mangsa yang juga penceramah bebas meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HSA. Hasil bedah siasat dapati punca kematian adalah serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan Soberi rebah sewaktu menyampaikan kuliah subuh sebelum disahkan meninggal dunia.
Khabar pemergiaan Allahyarham yang juga Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut dikongsikan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. – KOSMO!ONLINE