LONDON – Pasukan saintis berjaya menghasilkan ‘kelahiran dara’ pertama di dunia secara semula jadi melibatkan spesies lalat buah, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Kejayaan kajian selama enam tahun melibatkan manipulasi tiga gen itu penting dalam memahami fenomena ‘kelahiran dara’ dan mungkin membawa saintis selangkah ke hadapan untuk memahami sama ada keupayaan serupa boleh dipindahkan kepada manusia.
Kajian itu menghasilkan dua generasi lalat buah yang bertelur tanpa lalat jantan.
Pengarang utama kajian, Dr. Alexis Sperling dari Universiti Cambridge berkata: “Hasil kajian ini memberi gambaran penting tentang kelahiran dara.”
Profesor bersekutu sains biologi di Universiti Southampton, Dr. Herman Wijnen berkata: “Gen yang dimanipulasi dalam lalat buah adalah gen yang dikongsi dengan manusia, tetapi terdapat perbezaan yang ketara antara perkembangan awal lalat dan manusia.”
Lalat buah dalam kajian itu telah direka bentuk untuk bertelur sendiri dan persenyawaan dengan lalat jantan.
Kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal Current Biology itu memantau 44 gen sebelum dikecilkan kepada tiga gen yang boleh memainkan peranan dalam kelahiran dara secara semula jadi pada lalat buah Hawaii dan Brazil. – Agensi