JAKARTA – Seramai lapan mangsa yang sebelum ini dilaporkan terperangkap di dalam sebuah lombong emas haram di Pulau Jawa, Indonesia dikhuatiri maut.
Penyelamat tempatan berkata, usaha mencari dan menyelamat yang memasuki hari kelima itu hanya menyaksikan sedikit kemajuan.
Ketika kejadian, pekerja-pekerja itu dilaporkan sedang menggali lubang sedalam 60 meter di kampung Pancurendang pada Selasa lalu apabila air tiba-tiba membanjiri lombong haram itu.
Pasukan penyelamat menggunakan pam untuk mengalirkan air ke sungai berdekatan sejak Selasa lalu, namun kawasan itu masih tenggelam setakat hari ini.
“Sudah masuk hari kelima. Kami menjangkakan berita buruk bahawa mangsa telah meninggal dunia,” kata ketua agensi mencari dan menyelamat, Adah Sudarsa.
Jelasnya, usaha menyelamat akan diteruskan sehingga Selasa ini dengan harapan untuk menemui mayat pelombong-pelombong itu.
Pihak berkuasa merancang untuk menghantar penyelam bagi mencari mangsa, namun seorang pegawai penyelamat tempatan, Priyo Prayudha Utama berkata, perkara itu mustahil kerana lubang tersebut terlalu sempit.
Jumaat lalu, pihak berkuasa mendakwa empat individu kerana mengendalikan lombong itu tanpa permit. Kesemua suspek termasuk seorang yang masih bebas berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda 100 bilion rupiah (RM30.14 juta) jika sabit kesalahan. – AFP