SECARA umum, halal membawa maksud perkara yang dibenarkan dan membawa kepada kebaikan.
Bagi umat Islam, konsep halal merupakan panduan yang membenarkan mereka (Muslim) memakan makanan dan minuman yang diharuskan oleh Allah SWT.
Ia termasuk berkaitan makanan dan minuman yang dibenarkan oleh hukum syarak, bersih serta selamat untuk kehidupan seharian.
Bagi memastikan ilmu halal dapat dikuasai dengan baik, pendidikan mengenainya haruslah disampaikan dengan berkesan.
Ini secara tidak langsung dapat memberikan manfaat kepada orang Islam daripada segenap lapisan masyarakat.
Sebagaimana pengguna dewasa yang mempunyai pemahaman tentang konsep makanan halal, remaja juga perlu dibekalkan dengan ilmu pengetahuan mencukupi.
Selaras dengan matlamat untuk mendidik masyarakat melalui ilmu halal, Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC) menyahut seruan tersebut dengan menganjurkan program Halal Youth Muslim Project (HYMP) kepada remaja.
Pengarah Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC), Dr. Zalina Zakaria berkata, HYMP bertujuan memberikan pendedahan kepada remaja mengenai produk halal, di samping peluang-peluang kerjaya yang dapat diceburi dalam bidang itu.
“Program ini merupakan kesinambungan daripada Halal Genius Muslim Project.
“Ia merupakan sebuah program yang menerangkan tentang kesedaran halal kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah rendah. Program ini telah dijalankan pada tahun 2020 dan 2021.
“Bagi melahirkan generasi yang berpengetahuan dan berkualiti, anak-anak perlu dididik dari awal dan golongan muda perlu proaktif dalam menimba ilmu pengetahuan.
“Dalam misi menjayakan program ini, UMHRC telah bekerjasama dengan Pusat Pemerkasaan Remaja (Perkasa) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya.
Jelasnya, HYMP telah diadakan sebanyak dua kali iaitu pada 3 Disember 2022 dan 27 Mei lalu.
“Peserta-peserta program yang terlibat pula berumur antara 13 hingga ke 19 tahun.
“Selaras dengan konsep ‘Halal untuk Semua’, penyertaan peserta-peserta program turut dibuka kepada remaja bukan Muslim.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat baik.
“Peserta juga dapat memahami serta mendapat pendedahan tentang kepentingan pengetahuan halal serta peluang kerjaya yang luas dalam bidang ini,” ujarnya.
Tambahnya, program yang berlangsung di kampus induk UM itu telah dianjurkan selama setengah hari.
Ia merangkumi tiga sesi iaitu ceramah, aktiviti berkumpulan dan taklimat kerjaya dalam bidang halal.
Bagi memastikan kelancaran program tersebut, Zalina berkata, seramai 10 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar UM dan pembantu penyelidik UMHRC terlibat mengendalikan program itu.
Fasilitator berkenaan juga bertanggungjawab untuk memastikan setiap sesi berjalan lancar dan memantau seramai 30 hingga 40 peserta semasa program berlangsung.
Katanya, peserta program turut diberikan buku nota halal yang mengandungi maklumat ringkas dan padat tentang definisi-definisi penting halal serta pensijilan halal di Malaysia.