KUCHING – Kegiatan empat lelaki mencuri kabel telekomunikasi di sini membawa padah apabila dicekup menerusi dua tangkapan berasingan pada 28 Julai lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, berkata, tangkapan pertama melibatkan tiga suspek berumur antara 20 hingga 30 tahun di kawasan susur masuk ke Jambatan Satok di Gita, kira-kira pukul 6 pagi.
Sementara itu, katanya seorang lagi suspek berumur 27 tahun ditangkap di kawasan Jalan Wan Alwi kira-kira pukul 5.36 petang.
“Turut dirampas sebuah kereta, sebuah motosikal, enam gulung kabel serta peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel seperti sebilah parang, kuku kambing dan pemotong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Merbin berkata siasatan awal turut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.
Beliau menambah ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
Katanya kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 1 Ogos dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Justeru, Merbin mengingatkan orang awam supaya tidak bersubahat membeli barang-barang curi.
“Sekiranya didapati terlibat, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya. – KOSMO! ONLINE