MERSING – Seorang pemuda mungkin tidak dapat menyambut kelahiran anak sulungnya kerana terlantar selepas mengalami pendarahan otak bulan lalu.
Samsuddin Sukaimi, 24, kini tinggal bersama isterinya, Nurain Bachok, 30, yang hamil lapan bulan di Felda Tenggaroh 2 di sini.
Kakaknya, Saharah, 28, berkata, adiknya yang bekerja sebagai pegawai ladang di Mersing pengsan dan diserang sawan lima kali termasuk ketika dalam perjalanan menuju ke hospital.
“Menurut rakan sekerjanya, adik saya mengadu pening kepala. Setibanya di Hospital Mersing, adik saya diminta dirujuk ke Hospital Sultan Ismail sebelum ke Hospital Sultanah Aminah untuk menjalani pembedahan di kepala,” katanya ketika ditemui di Felda Tenggaroh 2 baru-baru ini.
Menurutnya, doktor memaklumkan adiknya yang merupakan graduan diploma pengurusan ladang mengalami pendarahan di kepala.
Samsuddin bekerja di ladang itu lebih setahun lalu dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum ini.
“Sekarang dia hanya terlantar dan mampu buka mata. Dia bergantung dengan susu dan makanan tambahan yang diberikan setiap empat jam melalui tiub.
Saharah berkata, dia sedang dalam proses membuat permohonan kepada pihak berkaitan termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial bagi meringankan beban keluarga adiknya.
“Kami harap proses ini disegerakan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Maybank bernombor 151071578241 atas nama Samsuddin.