Saudara Pengarang,
Hentian bas merupakan salah satu kemudahan yang kerap digunakan orang ramai untuk menunggu pengangkutan awam.
Saya ingin menarik perhatian pihak berkuasa tempatan (PBT) Shah Alam iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bahawa masih banyak hentian bas yang terdapat di sekitar bandar raya ini yang masih bergelap, yakni lampu-lampu yang ada di hentian bas tidak bernyala.
Ada penumpang yang terpaksa menunggu bas dalam keadaan gelap terutama pada awal pagi dan malam.
Sudah tiba masanya pihak MBSA memastikan agar lampu di setiap hentian bas berfungsi atau bernyala.
Sebagai contoh, hentian bas di Jalan Raja Abdullah 9/19, Seksyen 9 yang terletak bersebelahan dengan Plaza Shah Alam.
Lampunya tidak menyala sejak Jun lalu. Saya sendiri sudah merakam gambar pada waktu malam, 21 Jun lalu dan menghantar aduan kepada Twitter MBSA @sacitycouncil untuk tindakan lanjut.
Sudah pasti, menunggu bas dalam suasana gelap mengundang rasa tidak selesa terutama wanita. Sewaktu tinjauan saya pada 27 Julai lalu, hentian bas tersebut masih lagi bergelap. Jadi saya harap pihak MBSA dapat bertindak segera.
Kamaruddin Hassan
Shah Alam, Selangor