PILIHAN Raya Negeri (PRN) yang berlangsung ketika ini menjadi benteng dan pelbagai isu dibangkitkan rakyat Malaysia tidak kira di bandar atau pedalaman.
Boleh dikatakan hampir daripada kita mempunyai pandangan terhadap parti politik yang akan diundi atau disokong.
Perbezaan pendapat ini boleh menyebabkan berlakunya perbalahan dalam kalangan ahli keluarga, rakan-rakan, jiran.
Perkara ini bukan kali pertama berlaku. Realitinya perkara ini yang menakutkan kita, perbezaan pandangan politik pada dasarnya akan merosakkan hubungan silaturahim seseorang.
Bukan itu sahaja, calon atau orang politik mengatakan mereka calon yang terbaik. Membuat perbandingan sebenarnya akan mengeruhkan lagi suasana.
Orang politik seharusnya menyakinkan rakyat mengenai misi dan visi masing-masing serta inisiatif yang bakal mereka laksanakan demi negara, bangsa dan agama jika dipilih sebagai pemimpin kelak.
Percakapan mengenai politik perlu dilihat dalam skop lebih luas, sekali gus tidak hanya terhad pada politik kepartian.
Ia berkaitan banyak bidang membabitkan kuasa sama ada perundangan, ekonomi, sosial, pendidikan atau kebajikan.
Kita memerlukan politik matang yang menjadi manifestasi daripada pemikiran, tindakan dan aktiviti politik memfokuskan perancangan masa depan serta pembangunan semua aspek.
Justeru, cakupan politik bukanlah kepada isu skandal politik, politik wang dan pergolakan individu dalam parti politik.
Bagaimanapun, amalan berpolitik secara matang tidak bermakna mereka yang terbabit perlu sentiasa berada pada posisi tidak berpihak atau neutral dalam erti kata lain tidak berpihak khususnya dalam memberikan pandangan atau saranan.
Pada dasarnya, orang politik akan datang dan pergi, tetapi ahli keluarga, sahabat, jiran dan masyarakat sekeliling yang kerap berdamping sama ada ketika susah mahupun senang.
Islam juga menegaskan dan menggalakkan perkara berkaitan kepentingan silaturahim atau hubungan.
Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin menerusi satu perkongsian berkata, menyambung tali persaudaraan sesama Muslim menjadi satu kewajipan bagi setiap umat Islam.
Menurut beliau, apabila tali kasih sayang bertaut, maka hubungan kekeluargaan, persaudaraan serta persahabatan dapat dibina dengan baik.
“Menjaga silaturahim adalah tanda-tanda seseorang itu beriman kepada Allah.
“Sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud; “barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menyambung hubungan silaturahim,” jelasnya.
Jika diamati, apa yang penting adalah amalan politik matang perlu diterapkan dan diperkuat bagi menjamin pembangunan dan kesejahteraan rakyat, politik tanpa prinsip dan pegangan akan menyebabkan fokus politik bakal beralih arah daripada membangunkan kebajikan rakyat kepada pertikaian hal remeh-temeh tanpa penghujung.
Akhirnya, kedua-dua pihak tidak mendapat sebarang hasil, apa yang bakal berlaku selepas siri pilihan raya adalah bercakap mengenai politik tidak akan berkesudahan. Ibarat rumah sudah siap, tetapi tukul masih berbunyi. Yang rugi rakyat, yang untung Yang Berhormat (YB).