TOKYO – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola merasakan ‘kegilaan’ kelab Arab Saudi untuk mendapatkan pemain ternama dunia telah memberi kesan kepada pasaran perpindahan pemain di peringkat global.
Guardiola terpaksa akur perkembangan semasa jelas berbeza berbanding di awal penyertaan Cristiano Ronaldo bersama Al-Nassr.
“Beberapa bulan lalu ketika hanya Cristiano jadi pemain tunggal yang pergi ke sana, tiada siapa pun sangka ramai lagi pemain terbaik akan bermain di Liga Arab Saudi.
“Pada masa hadapan, akan ada lebih ramai lagi pemain dan sebab itu kelab semua kelab harus sedar apa yang sedang berlaku sekarang. Riyad Mahrez menerima tawaran besar dan sebab itu kami tidak boleh halang pemergiannya.
“Arab Saudi telah mengubah pasaran perpindahan dunia,” katanya yang merujuk kepada perpindahan Mahrez ke Al-Ahli untuk sertai Édouard Mendy dan Roberto Firmino.
Guardiola juga bertegas di sebalik deretan kejuaraan diraih, City seakan hilang kuasa untuk menyekat perpindahan Mahrez yang bakal terima gaji £750,000 (RM4.3 juta) seminggu.
Selain itu, bekas pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema dan Jordan Henderson, N’Golo Kante sudah pun sah akan melebarkan karier di Arab Saudi.
“Liga Perdana Inggeris berbelanja besar kerana organisasinya lebih baik, begitu juga dengan pendapatan daripada hak penyiaran. Sekarang Liga Arab Saudi, saya tidak pasti berapa lama akan bertahan, tetapi pemain mahu ambil peluang ini.
“Ini bukan ancaman tetapi ia adalah realiti. Kelab Arab Saudi mahu membina liga yang kukuh dan buat masa ini mereka mampu lakukannya,” jelasnya. – AGENSI