PETALING JAYA – Seorang pelajar doktor falsafah (PhD) didakwa menemui semula spesies kerang atau kijing air tawar di sebuah sungai di Pahang yang dipercayai pupus di negara ini sejak 40 tahun lalu.
Lelaki terbabit yang menggunakan akaun TikTok Azamuddeennasir iaitu pelajar PhD bidang genetik dan ekologi ikan paya gambut memuat naik sebuah video malam tadi menceritakan spesies yang ditemuinya itu.
“Saya tunjuk korang satu tempat menarik ada spesies kerang atau kijing dipercayai pupus 40 tahun, tapi saya jumpa. Ni habitat dia, kita nak cari. Spesies ni saya jumpa dan sudah disahkan pakar kerang.
“Nama spesies ni ensidens ingallsianus ialah spesies kijing air tawar. Di kawasan ini saja, dulu taburan sangat luas, tapi entah kenapa pupus di Sungai Pahang dan kawasan lain.
“Jadi kawasan ni saya saja ‘explore’, masuk dalam raba-raba (tangan dalam air) dapat spesies dan kerang lainlah. Tapi kita fokus ensidens ingallsianus atau kijing biji nangka orang Pekan panggil,” katanya.
Dia berkata, spesies kijing air tawar yang pupus itu telah dibuat kajian dan bancian teliti di seluruh Malaysia, namun tidak menjumpainya.
“Alhamdulillah, saya datang sini dan saya ingatkan kijing biasa. Saya tanya sahabat saya Mohd. Affendi Marzuki di Unimas (Universiti Malaysia Sarawak), ‘eh ensidens ingallsianus yang dah pupus’.
“Saya syok gila, jadi saya ambil beberapa spesimen dan saya awetkan. Saya hantar ke pakar iaitu Dr. Alexander yang merupakan pakar kijing air tawar di Malaysia.
“Jadi kita akan buat DNA analisis nak buatkan kertas kajian berkenaan kijing ni. Keadaan kijing ini berbentuk memanjang, bujur mengecil dan ia tidaklah besar mana,” katanya.
Sementara itu, pelajar tersebut menjelaskan, spesies kerang sangat sensitif kepada perubahan air serta memerlukan ikan untuk melengkapkan kitaran pembesarannya.
“Apabila bertelur, telur akan melekat pada insang atau sisip ikan. Jadi apabila spesies ikan itu pupus, maka akan pupus (kijing). Itu yang kita syak, sini mungkin ada ikan itu, kita tak tahu sebab kajian kerang air tawar di Malaysia sangatlah kurang,” ujarnya.
Katanya, difahamkan terdapat 19 spesies kerang atau kijing air tawar dan satu daripadanya ialah pendatang dari China.
“Saya masak (spesies dari China) tapi tak sedap langsung. Yang ini (ensidens ingallsianus) saya masak hari tu, saya tak tahu dah pupus. Tapi memang sedap dan bila dapat tahu dah pupus, alamak (rasa bersalah).
“Penemuan ini adalah rekod baharulah setelah 40 tahun spesies ni pupus dan kita jumpa, alhamdulillah. Seronoklah nanti kita buat kertas kajian,” jelasnya.
Menerusi penerangan pada video itu, ensidens ingallsianus mempunyai taburan luas di Semenanjung Malaysia suatu ketika dahulu dari sempadan Thailand hingga ke Kuala Pahang di selatan.
Bagaimanapun, ia dipercayai pupus di Malaysia selama 40 tahun mengikut tinjauan yang mendalam dengan rekod terakhir ialah pada tahun 1977 di Tasik Chini. – KOSMO! ONLINE.