PETALING JAYA – Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam kancah Liga Super selepas menewaskan Kuching City 1-0 di Stadium Negeri, Kuching sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Sang Kenari kendalian Nafuzi Zain membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan diketuai tonggak import seperti Ifedayo Olusegun dan Manuel Hidalgo.
Kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan tetapi jaringan tunggal hanya terhasil menerusi jaringan Ifedayo yang bijak menyudahkan bola sepakan sudut Manuel Hidalgo pada minit ke-39.
Pasukan pelawat semakin ghairah untuk menambah gol pada babak kedua tetapi gagal menembusi benteng pertahanan skuad The Cats dengan keputusan kekal sehingga wisel penamat.
Kemenangan tersebut menyaksikan Kedah kini kekal ditangga ketiga Liga Super selepas mengutip 37 mata manakala Kuching City pula masih berada di zon penyingkiran di tempat ke-13 dengan meraih tujuh mata. – KOSMO! ONLINE