KUALA LUMPUR – Kelab Kuala Lumpur City (KL City) mempamerkan aksi bertaraf ‘lima bintang’ selepas menewaskan Kelantan FC 5-1 pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebetar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Warga Kota terlebih dahulu dikejutkan oleh pasukan pelawat yang meraih gol seawal minit ketiga hasil jaringan sepakan percuma yang dilakukan Leonardo Rolon.
Tersentak dengan gol tersebut, KL City berjaya menyamakan kedudukan menerusi ledakan Zhafri Yahya pada minit ke-26.
Penyerang import dari Colombia, Romel Morales mempamerkan bisanya dengan meledak jaringan hatrik pada minit ke-48, m-65 dan m-90 untuk memastikan pasukan tuan rumah meraih tiga mata berharga.
Satu lagi gol dijaringkan oleh pemain gantian, J. Partiban pada penghujung perlawanan.
Ini adalah perlawanan pertama KL City tanpa kelibat jurulatih berpengaruh, Bojan Hodak yang berhijrah ke Persib Bandung dengan pasukan dikendalikan sementara oleh Miroslav Kuljanac.
Keputusan itu menyaksikan KL City meraih kedudukan keenam liga dengan mengumpul 28 mata selepas mengharungi 18 perlawanan manakala Kelantan pula kekal di tangga tercorot dengan hanya mengutip lima mata. – KOSMO! ONLINE