fbpx

Nama-nama besar berentap rebut kerusi PRN enam negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA nama-nama besar yang bersaing pada PRN kali ini.

PETALING JAYA – Proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri semalam menyaksikan penyertaan beberapa nama-nama besar bagi menawan negeri masing-masing.

Antara yang mencuri tumpuan adalah beberapa penyandang jawatan menteri besar dan menteri yang akan turun untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri masing-masing.

Turut mencuba nasib pada PRN kali ini termasuklah bekas menteri, bekas menteri besar selain beberapa ketua pimpinan parti.

Di Selangor, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan turun mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Penyandang kerusi Parlimen Gombak itu akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin serta calon Bebas, Suman Gopal.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon PH Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli (tiga dari kiri), Dun Sungai Tua, Datuk Seri Amiruddin Shari (tengah), dan Dun Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (tiga dari kanan), pada Hari penaman calon Pilihan Raya Negeri (PRN), Selangor, di SMK Sungai Pusu, Gombak, semalam. – SHIDDIEQIIN ZON

Selain Amirudin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan bertanding di DUN Hulu Kelang dan akan ditentang calon PH yang juga bekas ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Seorang lagi calon heavyweight yang bersaing di Selangor ialah bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Rina akan berdepan tentangan Ketua Pemuda Amanah Selangor, Danial Al Rashid yang mewakili PH dan calon Muda, Syaidiyah Izzati Nur Razak di DUN Batu Tiga.

Di Kedah, tumpuan terarah kepada pencalonan Datuk Seri Sanusi Md. Nor yang akan mempertahankan kerusi DUN Jeneri dan Pengarah Pilihan Raya PN itu akan berdepan Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim.

Selain Sanusi, Pengerusi PH negeri, Datuk Mahfuz Omar juga akan bertanding di DUN Alor Mengkudu, manakala Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mewakili BN di DUN Pedu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama calon PN Dun Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Dun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham (tiga dari kanan), dan Dun Sungai Tua, Muhammad Hanif Jamaluddin (tiga dari kiri), pada Hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN), Selangor, di SMK Sungai Pusu, Gombak semalam.

Di Negeri Sembilan, persai­ngan melibatkan tokoh-tokoh besar terarah kepada pencalonan dari gabungan PH-BN yang me­nyaksikan Menteri Pertahanan yang juga Timbalan Presiden UMNO,

Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding mempertahankan kerusi DUN Rantau.

Mohamad Hasan yang akan bertanding buat kali kelima di DUN Rantau berdepan calon Pas, Rozmal Malakan dalam persaingan dua penjuru.

Seorang lagi menteri yang mencuba nasib di Negeri Sembilan ialah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang bertanding bagi penggal ketiga di DUN Chennah dan berdepan lawan dari PN, Rosmadi Arif.

Penyandang Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pula akan mempertahankan DUN Sikamat.

Di Pulau Pinang, antara nama besar yang bertanding ialah Pre­siden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai di DUN Bayan Lepas selain Pengerusi DAP, Lim Guan Eng di DUN Air Putih bagi mewakili PH.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula menjadi pertaruhan BN di DUN Bertam.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dijangka berdepan persaingan sengit satu lawan satu menentang calon PN daripada Bersatu, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq.

Di Terengganu, tumpuan kini terarah kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang akan mempertahankan kerusi DUN Kijal.

Ahmad yang juga Pengerusi BN negeri akan berdepan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris.

Penyandang kerusi Menteri Besar dari PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pula kekal mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang dan akan ditentang calon Amanah yang mewakili PH, Suhaimi Sulaiman.

Di Kelantan, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob akan bertanding di DUN Pasir Pekan, manakala Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bertanding di DUN Panchor.

Ahmad akan ditentang calon PH, Zaman Sahri Ibrahim, manakala Mohd. Amar pula berdepan tentangan seorang lagi wakil PH, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain.

Untuk rekod, sebanyak 245 kerusi DUN dipertandingkan dalam PRN yang akan diadakan secara serentak pada 12 Ogos 2023.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI