KOTA TINGGI – Tindakan sekumpulan pemandu kenderaan mewah yang memandu secara merbahaya di Lebuh Raya Senai-Desaru membawa padah apabila menjadi buruan pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi menerima sebuah video tular berdurasi lebih kurang 71 saat mengenai kejadian itu pada pukul 10 pagi.
Katanya, sekumpulan konvoi yang bangsanya tidak dikenal pasti itu memandu kereta mewah jenis Lammborghini dalam keadaan merbahaya dengan memotong kenderaan lain secara melulu sehingga boleh menyebabkan kemalangan.
“Aksi memandu kereta yang merbahaya tersebut didapati dilakukan di Lebuh Raya Senai – Desaru. Pergerakan kenderaan adalah daripada Senai menghala ke Bandar Penawar. Ia dirakam oleh orang awam dan dimuat naik ke laman Facebook “Jabatan Netizen Negara” semalam lebih kurang pukul 9.13 malam.
“Susulan rakaman video itu, pihak polis berjaya mengesan kenderaan-kenderaan terbabit pada pukul 11.40 tengah hari. Kita sudah mengenal pasti pemandu-pemandu tersebut dan akan mengambil keterangan lima individu berusia 44 hingga 64 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelasnya, pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak memandu kenderaan dan melakukan aksi-aksi yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain. – KOSMO! ONLINE