LONDON – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola berharap lebih banyak bintang terbaik mampu dilahirkan dari akademi The Citizens agar mereka mempunyai ramai pemain pelapis cemerlang yang boleh diserapkan dalam skuad utama pada masa akan datang.
Ketika ini, Guardiola telah membawa beberapa pemain akademi ke dalam pasukan utama sewaktu aksi pramusim di Tokyo, Jepun sebagai persediaan menghadapi musim 2023/2024.
Phil Foden, Cole Palmer, Rico Lewis, Oscar Bobb dan James McAtee berada di Jepun bePhilrsama skuad utama.
Pep Guardiola mengakui bahawa terdapat beberapa pemain dari produk akademi Manchester City mempamerkan aksi luar biasa dan berpeluang menyarung jersi pasukan utama.
“Saya lihat terdapat tiga atau empat pemain yang luar biasa dari produk akademi. Menariknya, untuk hanya sebuah akademi mereka berjaya menjana jualan £80 juta (RM467.95 juta) atau £85 juta (RM497.20 juta) dan bagi saya sukar untuk mempercayainya.
“Ia menunjukkan betapa baiknya kelab ini. Saya pasti salah seorang daripada mereka, mungkin pada masa hadapan, akan kembali menjadi sebahagian daripada kami. Jadi, saya sangat gembira jika mereka bersama kita pada masa akan datang,” kata Guardiola.
Ketika ini, penjaga gol dari akademi Manchester City, James Trafford yang tampil cemerlang dalam aksi Kejohanan Eropah bawah 21 tahun (B-21) dan menyertai Burnley dengan nilai perpindahan mencecah £15 juta (RM87.74 juta).
Pemain tengah berusia 19 tahun, Shea Charles yang juga dari akademi kelab gergasi itu turut melebarkan saingan di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan nilai £10.5 juta (RM61.42 juta) dan berpotensi meningkat kepada £15 juta (RM87.74 juta). – AGENSI