MANCHESTER – Pemain pertahanan Manchester United, Harry Maguire terus mendapat peluang untuk menghidupkan kembali kariernya apabila dilaporkan lima pasukan dari Serie A bersedia untuk mendapatkan khidmatnya.
Maguire berdepan kesukaran pada musim pertama Erik Ten Hag dilantik sebagai pengurus The Red Devils apabila kehilangan posisinya sebagai pemain utama kepada Raphael Varane dan Lisandro Martinez.
Malah, Ten Hag lebih menggunakan khidmat Victor Lindelof dan Luke Shaw sebagai pengganti dua pemain berkenaan berbanding menyenaraikan Maguire sekiranya berlaku kecederaan dan penggantungan.
Pemain antarabangsa England itu hanya membuat 31 penampilan dalam semua kejohanan musim lalu dengan sebahagian besar hanya memanaskan bangku simpanan, selain dia juga kehilangan tugas sebagai kapten pasukan untuk saingan musim depan.
Tugas sebagai ketua pasukan itu diberikan kepada Bruno Fernandes selepas Maguire tidak mendapat sebarang jaminan untuk diturunkan sebagai pemain utama pada saingan musim baharu nanti.
Situasi itu menghangatkan lagi spekulasi perpindahannya apabila beberapa pasukan dari Liga Perdana Inggeris iaitu Tottenham Hotspur, West Ham United dan Aston Villa dilaporkan berminat untuk mendapatkannya.
Namun, laporan media Itali mendedahkan bahawa lima pasukan Serie A termasuk Juventus, Napoli, AS Roma, AC Milan dan Inter Milan sanggup memberikannya peluang untuk mengembalikan kariernya.