SEREMBAN – Anak lelaki dua bekas Menteri Besar Negeri Sembilan membuat penampilan sulung mereka dengan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 kali ini.
Mereka ialah anak Tan Sri Dr. Rais Yatim, Danni dan anak Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, Mohd. Najib.
Danni, 36, yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang atas tiket PN dengan berdepan dua pesaing.
Sementara Mohd. Najib yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson dan mewakili Barisan Nasional (BN) bersaing satu lawan satu dengan calon PN, Abdul Fatah Zakaria di DUN Bagan Pinang.
Rais, 81, menjadi Menteri Besar antara 1978 hingga 1982 dan jawatan terakhirnya adalah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang tamat pada Jun lalu.
Manakala, Mohd. Isa, 73, memegang jawatan Menteri Besar selama 22 tahun sehingga 2004. Beliau pernah menjadi Pengerusi Felda dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat. – KOSMO! ONLINE