SEBERANG PERAI – Tewas mengejut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk kerusi Parlimen Kepala Batas kira-kira lapan bulan lalu bukan alasan untuk Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ‘memencilkan’ diri daripada memikirkan soal rakyat.
Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas selama dua penggal itu bingkas ‘bangun’ daripada kekecewaan dan kini bersedia untuk membuat kemunculan semula apabila bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam.
Menurut bekas Menteri Kabinet itu, keputusan untuk terus bertanding pada pilihan raya dibuat demi meneruskan perjuangannya untuk rakyat.
“Di Kepala Batas ini sebenarnya kita ada DUN Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal. Tetapi, semasa keputusan PRU-15 lalu (diumumkan), saya menang di DUN Bertam (dari segi bilangan undi) dengan majoriti yang mencecah lebih 900 undi.
“Bagaimanapun, saya tidak ambil itu (kelebihan bilangan undi) sebagai laluan mudah kerana lawan saya adalah penyandang kerusi tersebut yang semestinya ada kelebihan juga.
“Apapun, ini (keputusan untuk kembali bertanding) adalah kerana saya mahu beritahu kepada orang di Kepala Batas semua bahawa Reezal Merican sentiasa ada dan tidak pernah meninggalkan mereka walaupun tewas pada PRU15 lalu dan Bertam ini adalah petanda kembali kebangkitan Barisan Nasional (BN) di sini (Kepala Batas),” katanya kepada pemberita, hari ini.
Lawan Reezal Merican iaitu Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq daripada Perikatan Nasional (PN) dalam pada itu tidak ‘memandang mudah’ pertembungan ‘satu lawan satu’ dan menyifatkan ia sebagai satu pertembungan yang sengit.
Pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kepala Batas itu berkata, beliau telah memulakan gerak kerja sejak dipilih sebagai wakil rakyat Bertam kira-kira lima tahun lalu sehingga kerusi tersebut diisytiharkan kosong oleh kerajaan negeri gara-gara ‘lompat parti’.
“Bagi saya, satu lawan satu ini (dengan Reezal Merican) sebenarnya lebih ‘sihat’ kerana tidak ada parti-parti kecil dan sebagainya datang untuk memecahkan undi dan yang menang pasti akan mendapat mandat penuh daripada rakyat,” ujar beliau.
Khaliq Mehtab memenangi kerusi DUN Bertam sebelum ini selepas menyingkirkan dua lagi pencabar iaitu BN dan Pas dengan majoriti tipis iaitu sebanyak 217 undi sahaja. – KOSMO! ONLINE