fbpx

Hari penamaan calon di tiga DUN Sepang berlangsung ‘tenang’ – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Kamarul Azran memberi arahan kepada para anggota polis ketika hari penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N55 Dengkil pada PRN di Dewan Semarak Cyberjaya, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Hari penamaan calon di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini pagi tadi berlangsung dalam suasana ‘tenang’ dibantu lebih 581 anggota polis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tiada insiden kekecohan dilaporkan setakat ini dan proses berlangsung dalam keadaan lancar.

Beliau berkata, seramai 148 anggota ditempatkan di Dewan Komuniti Pantai Sepang Putra bagi memantau proses penamaan calon DUN N.54 Tanjung Sepang dan 248 anggota di Dewan Semarak Cyberjaya (DUN N.55 Dengkil) serta 185 anggota di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi (DUN N.56 Sungai Pelek).

“Kami juga merancang untuk menempatkan lebih ramai anggota sekitar 818 anggota pada hari mengundi pada 12 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa sama, katanya, pihaknya turut menasihatkan jentera parti yang bertanding supaya mematuhi peraturan ditetapkan termasuk tidak menyentuh isu 3R (raja, agama, bangsa) ketika berkempen.

Menurutnya, penyokong parti juga dinasihatkan supaya tidak melakukan provokasi, tidak terbabit dalam pergaduhan dan mendapatkan permit terlebih dahulu bagi setiap program ceramah.

“Penyokong juga perlu mematuhi peraturan pemasangan bahan kempen termasuk tidak meletakkannya di bangunan kerajaan, dan tidak membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI