AMPANG – Penyanyi terkenal, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang mewakili Pakatan Harapan (PH) bakal berhadapan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Sharifah Haslizah Syed Arifin yang juga menyandang jawatan sebagai Ketua Penerangan Pas Ampang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya.
Pertembungan satu lawan satu antara ‘Syed dan Sharifah’ itu telah disahkan oleh Pengurus Pilihanraya DUN Lembah Jaya, Ir Ts. Zafrul Fazry Mohd Fauzi di Dewan Datuk Ahmad Razali sekitar pukul 10.30 pagi, hari ini.
Altimet yang berbaju melayu serba merah diarak ke pusat penamaan calon bersama Mohd. Kamri Kamaruddin, calon PH DUN Bukit Antarabangsa disertai dengan laungan reformasi oleh para penyokong.
Menurut Altimet, dia teruja untuk bertanding di DUN Lembah Jaya walaupun berhadapan dengan lawan yang hebat dan berharap agar Pilihan Raya kali ini dapat dilakukan dengan bersih dan adil.
“Saya bertekad ingin menjadikan kawasan ini sesuai untuk didiami semua lapisan masyarakat. Saya rasa, Lembah Jaya merupakan tempat yang sesuai untuk saya besarkan anak-anak dan juga untuk ibu bapa saya yang sudah meningkat usia.
“Saya lihat, ramai orang yang berpencen memilih untuk tinggalkan kawasan ini dah berpindah ke kampung. Saya ingin jadikan Lembah Jaya sesuai untuk didiami semua lapisan masyarakat. Walaupun ini merupakan kawasan kota, saya harap dapat membawa semangat ukhwah yang ada di kampung ke sini,” katanya.
Menurut Altimet, dia sudah bermastautin di Ampang selama 13 tahun.
Bagi Sharifah Haslizah, pertembungan dengan figura terkenal tidak membuatkannya rasa takut atau gentar, malah lebih bersemangat untuk bertanding sebagai calon PN di Lembah Jaya.
“Saya sudah tinggal di Ampang selama 20 tahun dan aktif dalam pelbagai kegiatan masyarakat sejak 2013 lagi. Jadi, saya tahu apa masalah yang dihadapi oleh penduduk tempatan.
“Lagipun, lebih selesa di Lembah Jaya kerana sudah 10 tahun berkhidmat sebagai Ahli Majlis Pembandaran Ampang Jaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE