AMPANG JAYA – Penukaran saat akhir calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara bagi Pakatan Harapan (PH) merupakan proses biasa.
Penukaran tersebut melibatkan calon PKR, Aidi Amin Yazid kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas membuat pertimbangan bahawa tiada calon daripada AMK di Selangor .
“Itu merupakan proses biasa jikalau ada apa-apa keperluan, kita tukar. Lagipun calon Izwan ini, Ketua AMK Selangor dan tidak ada calon pemuda di Selangor.
“Kita rasa (penukaran) terbabit wajar dan AMK telah meminta, jadi saya pertimbangkan semula kerana ketiadaan calon mewakili AMK di Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses penamaan calon di kawasan Parlimen Gombak, Selayang dan Ampang pagi tadi.
Semalam, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan Muhammad Izuan untuk mempertahankan DUN Kota Damansara dalam PRN ke-15.
“Presiden PKR, Anwar telah memberikan watikah kepada Muhammad Izuan untuk mengukuhkan suara dan peranan generasi muda melalui perwakilan AMK dan gabungan Perpaduan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu bahawa penukaran calon PH untuk PRN melibatkan tiga kerusi iaitu satu di Terengganu dan Kelantan selain Kota Damansara.
Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden PKR tidak memperincikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan. – KOSMO! ONLINE