fbpx

PRN: Dua penjuru di DUN Telok Bahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zaki (dari kiri) dan Muhamad Kasim akan bertanding merebut kerusi DUN Telok Bahang pada PRN-15, 12 Ogos nanti.

BALIK PULAU – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Bahang menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon daripada Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahmad Zaki Shah Shah Headan,34, yang mewakili BN-PH akan berentap dengan Kolonel (B) Muhamad Kasim, 62, (Bersatu) bagi merebut kerusi DUN Telok Bahang.

Pengumuman calon itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN
Telok Bahang, Nurshamsinaz Shamsuddin kira-kira pukul 10.40 pagi di pusat penamaan calon di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Chye, di Kuala Sungai Pinang di sini, hari ini.

Sebelum ini, dalam Pilihan Raya Ke -14 (PRU-14) kerusi DUN Telok Bahang yang menjadi salah satu kerusi majoriti pengundi Melayu di Pulau Pinang dimenangi wakil Bersatu, Zolkifli Md Lazim dengan majoriti 425 undi selepas mendapat 5,482 undi.

Ketika itu Zolkifli menewaskan calon BN, Datuk Shah Headan Ayob Hussain Shah yang mendapat 5,057 undi.

Untuk rekod, kerusi DUN Teluk Bahang pernah dimenangi BN pada PRU13 menerusi Shah Headan yang merupakan bapa kepada Ahmad Zaki yang diletakkan bertanding mewakili UMNO pada PRN kali ini.

Kira-kira 100 penyokong dari kedua-dua parti bertanding berkumpul bagi memberi semangat kepada calon masing-masing di kawasan yang ditetapkan oleh pihak polis.

Biarpun penyokong berkumpul tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang proses penamaan calon.

Calon BN DUN Telok Bahang, Ahmad Zaki Shah berkata, dia akan berusaha mengembalikan kerusi DUN Telok Bahang kepada BN pada PRN kali ini menerusi gerak kerja yang telah diatur serta kempen bertemu setiap pengundi di DUN berkenaan.

”Saya berharap selepas 15 tahun pengundi akan memberikan peluang kepada saya untuk menjadi suara penduduk di DUN ini dan bersama-sama memajukan kawasan ini.

“Sudah sampai masanya untuk DUN Telok Bahang mempunyai wakil rakyat yang selari dengan kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Muhamad, yang merupakan pesara tentera berkata, dia akan cuba memastikan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kerusi DUN Telok Bahang dalam PRN kali ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI