KUALA NERANG – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap kira-kira pukul 8.39 pagi tadi.
Ketibaan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu itu turut diiringi calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Kuala Nerang, Ridzwan Abu Bakar.
Kira-kira 1,000 penyokong dari kedua-dua gabungan tersebut berarak mengiringi kedua-dua calon itu.
Terdahulu, penyandang DUN Pedu dan Kuala Nerang iaitu masing-masing Mohd. Radzi Md. Amin serta Munir Zakaria yang mewakili Perikatan Nasional (PN), tiba di lokasi sama kira-kira pukul 8.23 pagi.
Kedua-dua calon dari Pas itu turut diiringi kira-kira 1,000 penyokong termasuk Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid.
Pada PRU14, Mohd. Radzi memenangi DUN Pedu menewaskan calon BN, Kama Noriah Ibrahim serta Hashim Idris dari PKR dengan majoriti 670 undi.
Bagi DUN Kuala Nerang pula, Munir menewaskan Datuk Badrol Hisham Hashim dari BN dan calon PKR, Pak Tuan Syed Fadzil dengan majoriti 1,619 undi.
Seramai 28,586 pemilih layak mengundi di DUN Pedu melibatkan 51 saluran manakala 31,287 pemilih lagi bakal menentukan wakil rakyat mereka di Kuala Nerang melibatkan 60 saluran mengundi. – KOSMO! ONLINE