BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand memanggil kira-kira 30 selebriti dan pesohor media sosial termasuk Phannarai Khemmi (Mod Oi) sebagai sebahagian daripada operasi membanteras promosi judi tanpa lesen yang semakin berleluasa, lapor laman berita Thaiger.
Phannarai yang mempunyai 1.1 juta pengikut di laman Twitter, hadir ke ibu pejabat Biro Siasatan Jenayah Siber (CCIB) di wilayah Nonthaburi bersama teman lelakinya kelmarin.
Dia dituduh mempromosikan aktiviti perjudian online selepas secara terbuka menggalakkan orang ramai mendaftar di beberapa laman web tersebut.
Selepas disoal siasat, Phannarai mengaku menyebar kandungan promosi perjudian dengan bayaran 700 baht (RM92) sehari, memuat naik satu hantaran sehari dan memperoleh kira-kira 20,000 baht (RM2,633) sebulan hasil aktiviti itu sejak Februari lalu.
Phannarai mengaku dia dihubungi melalui aplikasi LINE oleh pelanggan, manakala wang bayaran ditukar di pelbagai lokasi dan bukan melalui pemindahan bank.
Pesohor itu mendakwa bahawa dia tidak tahu mengenai larangan kandungan tersebut, namun sudah menyahaktifkan akaun selepas diarahkan polis.
Polis setakat ini meneruskan kes terhadap lima pesohor media sosial dan memanggil dua lagi ke Bahagian Penindasan Jenayah Teknologi dengan kesemua mereka berada senarai 30 nama yang dikenal pasti melakukan pelanggaran yang jelas. – Agensi