fbpx

Empat selebriti ‘juara’ fesyen pelik, unik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT selebriti tanah air yang sinonim dengan fesyen pelik dan unik.

Menjadi rencah anak seni dalam usaha keras mengukir nama di langit, pasti akan ada suara-suara sumbang mengekori.

Bakat seni datang dan pergi dan untuk kekal relevan, perlu ada ‘Factor X’ atau tindakan berani mati yang mampu mengejutkan ramai.

Itu pendapat yang bersifat sensasi, namun ada betulnya.

Contohnya, pemilihan gaya dengan konsep fesyen luar biasa serta unik yang ditonjolkan juga mampu menjadi perkara menarik untuk dibahas.

Gala pada minggu ini merangkumkan beberapa figura popular tanah air yang sentiasa tampil dengan busana unik dan penampilan di luar kotak.

Aina Abdul

MEGA. Satu frasa tepat untuk menggambarkan fesyen pemenang Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) itu. Aina sentiasa memukau dengan gaya pemakaian yang terkadang tidak tercapai dek akal.

Boleh dikatakan, pelantun lagu Terus Hidup itu sering muncul dengan busana unik, selain berjaya mengheret lensa kamera untuk terus terpacu ke arah dirinya sekali gus menjadi topik utama yang dibualkan netizen dalam media sosial.

Tidak hairanlah dia diberi jolokan sebagai ‘Ratu Fesyen Pelik’ di Malaysia.

Meski penyanyi berusia 30 tahun itu bersimbah nista dek penampilan berani matinya, namun tidak dapat dinafikan pilihan fesyen Aina secara tidak langsung menghidupkan kreativiti dalam kalangan selebriti dan pereka fesyen tanah air.

Justeru, keberaniannya menggayakan busana aneh dan pelik selayaknya dipuji, namun pada masa sama Aina juga harus menitikberatkan segenap aspek supaya fesyennya tidak keterlaluan atau lebih teruk lagi, memualkan.

Didie Alias

SEBELUM munculnya Aina Abdul, penampilan pelik golongan selebriti terlebih dahulu sinonim dengan namapelakon Didie Alias.

Aktres berusia 51 tahun itu juga pernah digelar ‘Lady Gaga Malaysia’ kerana pakaiannya yang aneh-aneh.

Namun siapa sangka, gaya sebegitu membuatkan peminat tidak sabar menantikan kemunculan Didie semata-mata untuk melihat fesyen yang diketengahkan tidak kira atas pentas mahupun di karpet merah.

Jiwa dan karakter yang dibawa pelakon juga juga pelawak senior itu ketika menggayakan fesyen avant garde menjadi nilai tambah buat penampilan uniknya, selain menghidupkan seni dalam gaya tersebut.

Barangkali Didie juga antara personaliti yang menjadi inspirasi kepada Aina Abdul untuk meneruskan takhta sebagai selebriti yang gemar berfesyen luar daripada kebiasaan.

Apa yang pasti, kegilaan dan keberaniannya sejak dahulu membuktikan dirinya sebagai selebriti yang sentiasa bekerja keras dalam mencari kelainan bagi mewarnai industri hiburan tanah air.

Datuk AC Mizal

JIKA diperhatikan jarang dilihat selebriti lelaki yang berani mencuba fesyen pelik kerana kebanyakan daripada mereka lebih gemar bersederhana atau playsafe.

Namun perkataan ‘biasa’ barangkali tidak wujud dalam kamus hidup bintang serba boleh, Datuk AC Mizal apabila layak masuk dalam kelompok artis yang suka bereksperimentasi.

Kreativiti dan idea fesyen yang dipamerkan pengacara kelahiran Negeri Sembilan itu bagai memberi nafas baharu kepada industri dan juga artis lelaki supaya tidak terlalu takut dalam berfesyen.

Pilihan sut berwarna terang seperti merah dan kuning serta corak-corak binatang seperti harimau bintang dan kuda belang antara gaya unik yang sering ditampilkan pengacara sensasi itu.

Datuk Seri Vida

Populariti selebriti dan usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida menjadikan dirinya dalam ‘senarai wajib’ sama ada sesuatu yang baik mahupun sebaliknya termasuklah pemakaiannya yang sentiasa lain daripada yang lain.

Apa yang pasti, pemilik nama lengkap Hasmiza Othman itu sentiasa berjaya mencuri tumpuan seiring tikaman pelbagai kecaman daripada netizen.

Penampilan busana anehnya saat hadir ke majlis anugerah mahupun acara rasmi sentiasa dijadikan sebagai bahan atau parodi.

Bahkan terdahulu, dalam video muzik Ku Ikhlaskan, penampilan gaya unik hijabnya berbentuk hati rona merah dengan padanan gaun corak kotak hitam putih serta mahkota kecil di kepala dijadikan bahan jenaka khalayak.

Mungkin, itu strategi Vida untuk memperkenalkan diri dan produknya di mata dunia.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI