PETALING JAYA – Seorang wanita terkejut apabila dikenakan RM94.20 bagi dua mangkuk yong tau fu yang dibeli di sebuah medan selera di sebuah pusat beli-belah.
Menerusi perkongsian di akaun Facebook, wanita itu mendakwa dia langsung tidak menyangka harga makanan sup itu mampu mencecah hampir RM100.
“Tak salah pun harganya itu kerana saya faham lokasinya di dalam pusat beli-belah. Harga begitu boleh tampung kos sewa dan pekerja yang semestinya tinggi.
“Cuma saya tak menyangka harga sebegitu kerana saya hanya beli di medan selera bukanlah restoran mewah,” ujarnya.
Tambahnya, dia juga tidak terdetik untuk menyemak harga terlebih dahulu sebelum membuat pesanan kerana pada hematnya yong tau fu tidak akan dijual pada harga yang mencekik darah.
“Boleh dijadikan pengajaran untuk golongan seperti kita yang kurang berkemampuan. Jangan tersilap lagi kalau beli, nanti ternganga mulut nak bayar,” tulisnya.
Rata-rata orang ramai bersetuju harga yang dikenakan agak mahal serta ada juga yang menitipkan pesan agar tidak berulang lagi kesilapan seperti ini.
“Yong tau fu sekarang melampau harganya. Haritu saya beli di tepi jalan tujuh jenis saya ambil yang biasa macam bebola ikan, kangkung dan kuey teow pun dah RM15,” kata Siti Nur Hidayah.
“Kalau nak beli yong tau fu, dekat mana-mana pun kena berhati-hati. Kalau terlebih risau tak boleh nak bayar,” pesan Siti Norhayati. – KOSMO! ONLINE