KUALA TERENGGANU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar di sini hari ini.
Beliau yang tiba di masjid itu pukul 1.10 tengah hari disambut oleh pihak pengurusan masjid dan jemaah.
Anwar dan hampir 1,000 jemaah turut mendengar khutbah bertajuk ‘Shasiah Remaja Muslim’ sebelum menunaikan solat Jumaat.
Selesai bersolat, Anwar sempat meluangkan masa beramah mesra dan bergambar dengan jemaah sebelum makan tengahari di perkarangan masjid.
Hadir sama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail.
Anwar dijadualkan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini selepas itu. – KOSMO! ONLINE