SEPANG – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyiapkan baki sebanyak 3,073 MyKiosk menjelang akhir tahun ini bagi menyediakan ruang perniagaan yang seragam, selamat dan selesa kepada peniaga.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, sehingga Julai, kementerian meluluskan sebanyak 3,173 unit kiosk kepada 113 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berjumlah RM49.14 juta.
Menurut beliau, buat masa ini, sejumlah 100 unit kiosk telah disiapkan di lima lokasi melibatkan Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Pilah, Majlis Bandaraya Seremban dan Majlis Perbandaran Port Dickson.
“Ini adalah cara inovatif dan komitmen kerajaan untuk terus memperkasakan rakyat, para peniaga kecil dengan semangat berdikari mereka akan dapat menjana pendapatan sendiri dan sebagai kerajaan kita akan sentiasa berdiri teguh bersama rakyat.
“Saya juga percaya inisiatif ini akan berikan impak yang besar demi meningkatkan kualiti hidup rakyat serta pendapatan mereka,” katanya menerusi sidang media selepas Majlis Pelancaran MyKiosk di Taman Putra Perdana di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, MyKiosk merupakan inisiatif yang didorong oleh kerangka Ekonomi Madani di mana ia memberi peluang kepada golongan B40 memulakan perniagaan, sekaligus memperbaiki kehidupan mereka.
“Dulu kita lihat banyak peniaga kecil di tepi jalan tanpa lesen, maka dibawah inisiatif ekonomi Madani, kerajaan akan mencadangkan kepada peniaga kecil tanpa lesen supaya mereka dihalalkan atau pun diputihkan menjadi peniaga berlesen,” ujarnya.
Tambahnya lagi, selain menggunakan imej, reka bentuk dan warna baharu, MyKiosk juga merupakan inisiatif ‘green kiosk’ pertama di negara ini yang menggunakan tenaga solar.
Beliau berkata, kos anggaran bagi setiap unit MyKiosk adalah antara RM15,000 hingga RM20,000 termasuk panel solar. – KOSMO! ONLINE