PETALING JAYA – Tindakan seorang individu menjual semula sebuah sofa yang diberikan secara percuma kepadanya mendapat kecaman orang ramai.
Perbuatan individu itu diketahui selepas dia memuat naik maklumat mengenai sofa itu di aplikasi jual beli barangan terpakai terkenal.
Menurut perkongsian seorang pengguna di Twitter, difahamkan sofa tersebut diberi secara percuma kepada individu itu oleh pemilik asalnya melalui Facebook komuniti setempat.
“Orang bagi percuma dekat Facebook, dia dapat lepas itu pergi jual balik dekat Carousell.
“Dahlah gambar pun pakai gambar yang pemilik asal letak, tak ada usaha langsung nak ambil gambar sendiri. Terbaru aku tengok dia jual RM600,” ciapnya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan individu tersebut yang dikatakan tidak beretika.
“Orang bagi percuma untuk diguna dan untuk yang betul-betul memerlukan. Bukan nak bagi keuntungan dekat yang ambil kesempatan,” kata Rafzan.
“Benda begini memang banyak kali terjadi di mana-mana. Pernah ada orang kasi stoller baby (kereta sorong bayi) percuma, tiba-tiba dia nampak penerima stroller tu jual semula dekat Facebook,” kongsi Dafinah.
“Bagi yang tanya kenapa bitter (tidak puas hati), pemilik asal sendiri pun terkilan. Dia kata bagi percuma bukan untuk dijual semula. Kalau dia tahu orang itu nak jual, lebih baik beri pada orang lain yang betul-betul memerlukan,” kata Anna.
Sementara itu, individu terbabit dipercayai telah memadam hantaran jualan sofa berkenaan di platform Carousell selepas ciapan mengenainya tular dengan lebih 1,500 ulang kicau. – KOSMO! ONLINE