SUNGAI PETANI – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah menggariskan empat teras dalam manifesto mereka sebagai tawaran kepada rakyat negeri ini sekiranya dapat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, empat teras tersebut adalah reformasi politik dan urus tadbir yang telus, pembangunan dan pengurusan ekonomi yang progresif, pengurusan sosial lebih harmoni dan pengurusan sumber hasil bumi yang mapan.
Mahdzir berkata, antara kandungan dalam empat teras itu adalah untuk menubuhkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri Kedah (PAC) yang dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang, Jawatankuasa Pilihan Khas (Select Committee) di Dewan Undangan Negeri dan pengisytiharan harta oleh kepimpinan negeri.
Selain itu, Kerajaan Perpaduan Negeri Kedah juga berjanji akan mempelbagaikan kreativiti atau meneroka idea baru untuk mempromosikan produk pelancongan negeri antaranya melibatkan penjenamaan semula dan mengangkat kembali sejarah kegemilangan Lembah Bujang dan Kedah Tua.
“Kita juga akan mempergiatkan aktiviti pelancongan di pulau-pulau yang menarik dan di dua Taman GeoPark iaitu Kilim Geoforest Park Langkawi dan Jerai Geopark,” katany pada Majlis Pengumuman dan Pengenalan Calon serta Pelancaran Manifesto Perpaduan di di kawasan letak kereta di Bandar Laguna Merbok, hari ini.
Katanya, selain itu, Kerajaan Perpaduan juga akan mengadakan projek naik taraf lima loji rawatan air di Pelubang, Pendang, Bukit Selambau, Sungai Limau dan Lubuk Buntar Lama diteruskan dengan tiga buah loji rawatan air baharu termasuk bekalan air ke Pulau Langkawi.
“Kita juga berjanji akan melaksanakan Kedah Go Digital antaranya dengan mewujudkan Zon Wifi Kedah di beberapa lokasi terpilih di setiap daerah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE