MERSING – Seorang warga emas maut selepas kereta dipandu dilanggar lori tangki dalam kemalangan berlaku di Kilometer 3 Jalan Mersing-Endau, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihak polis menerima maklumat kemalangan itu kira-kira pukul 3.30 petang.
Katanya, mangsa dikenali sebagai Esa Markam, 61, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tangki dari arah Mersing dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun melanggar Proton Waja dipandu mangsa yang keluar simpang di sebelah kiri dan masuk ke laluan lori secara tiba-tiba.
“Akibat kejadian itu mangsa alami cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu lori tidak cedera. Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1)APJ 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Anuar Hussine berkata, seramai enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan keluaran operasi di tempat kejadian mendapati berlaku kemalangan yang mengakibatkan pemandu kereta maut di tempat kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE