PORT DICKSON – Kerajaan akan membaiki dan membina baharu rumah-rumah daif termasuk rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di seluruh negara dalam masa terdekat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia menerusi peruntukan sedia ada di bawah Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) dan menggunakan senarai e-Kasih yang akan dikemukakan oleh Rela.
“Peruntukan itu diberikan kepada Rela untuk mereka membaiki rumah-rumah, ini pertama kali tidak pernah dilakukan sebelum ini. Senarai itu akan dikemukakan oleh Ketua Pengarah Rela dalam tempoh dua minggu untuk kelulusan.
“Setiap satu rumah yang daif maksimum RM17,000 mananala bagi rumah baharu hampir RM70,000 tetapi mengikut Ketua Pengarah tadi beliau maklumkan hendak lebih banyak lagi.
“Ya, senarai banyak sebenarnya dan saya tidak mempunyai senarai dan saya tidak dapat umumkan (jumlah rumah yang daif). Sekiranya dapat esok, insya-Allah esok saluran kewangan itu boleh dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Anggota Rela Negeri Sembilan di sini hari ini.
Yang adir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Menurut Ahmad Zahid lagi, peruntukan itu juga bagi membolehkan anggota Rela yang mempunyai rumah daif dapat membaiki sendiri dengan lebih cepat.
“Jadi, ini akan mempercepatkan pembinaan semula dan boleh memperbaiki rumah itu dengan segera kerana kampung-kampung tradisional yang lain kita gunakan GiatMara untuk melakukannnya.
“Berbeza dengan Rela ini kita minta anggota Rela sendiri yang akan memperbaiki dan membina baharu rumah-rumah anggota Rela ini,” katanya lagi.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis tersebut, beliau memberitahu akan meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mempertimbangkan elaun kenaikan anggota Rela. – KOSMO! ONLINE