fbpx

PRN: Kurang komunikasi punca pencalonan Dominic dibantah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dominic (tengah).

GEORGE TOWN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau menganggap bantahan serta kemungkinan berlakunya boikot daripada ahli akar umbi Pas selepas beliau disenarai sebagai calon PN di DUN Bayan Lepas berlaku kerana kekurangan komunikasi antara Gerakan dan Pas.

Menurut Dominic, proses pencalonan serta pemilihan beliau sebagai calon di kerusi DUN Bayan Lepas itu dibuat secara telus dan dan proses yang sama juga digunakan ketika pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor dan juga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Komunikasi dalaman (antara Gerakan dan Pas Pulau Pinang) masih lemah, dan kita akan kuatkan komunikasi dalaman PN selepas ini.

“Proses pemilihan saya sebagai calon di DUN Bayan Lepas juga telus, memang di peringkat negeri akan beri cadangan nama-nama calon namun keputusan hanya satu nama sahaja dan ia dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PN,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini, petang ini.

Sebelum ini, ahli akar umbi dan pimpinan Pas Pusat di DUN Bayan Lepas mengancam akan memboikot PRN sekiranya Dominic diletakkan bertanding mewakili PN di situ.

Menurut Dominic, dia tidak menggunakan ‘kabel’ seperti yang didakwa untuk mendapatkan kerusi DUN Bayan Lepas  dan isu yang berlaku antara Gerakan dan Pas akan diselesaikan secara dalaman.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai namanya yang tidak diumumkan pada majlis pengumuman calon PN di Pongsu Seribu semalam, Dominic berkata, ia kerana dari segi protokol namanya hanya sesuai diumumkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Pada mulanya, Hamzah yang akan datang ke Pulau Pinang untuk umumkan calon-calon PN namun beliau tidak dapat datang dan tempatnya digantikan oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

“Nama saya tidak diumum kerana dari segi jawatan saya Timbalan Presiden PN Pusat, jika nama saya sebagai calon diumumkan oleh AJK memang kurang baik, dan hari ini Hamzah telah mengeluarkan kenyataan bahawa saya adalah calon PN bagi kerusi DUN Bayan Lepas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI