fbpx

Catherine pernah jadi penoreh sebelum berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CATHERINE mampu meraih pelbagai kejayaan hasil perniagaan yang diusahakannya.

DI sebalik kejayaan yang dikecapinya kini, mungkin ramai tidak tahu kesusahan yang pernah dilalui wanita ini.

Bergelar Ketua Pegawai Operasi Twin Plastics Industries Sdn. Bhd., Catherine Dumas sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki pada masa kini, namun tidak pernah melupakan asal usulnya.

Menurutnya, perkara paling tidak boleh dilupakannya adalah ketika melalui keperitan hidup semasa zaman persekolahan.

Katanya, ketika rakan seusianya sibuk memikirkan tentang pelajaran, dia pula terpaksa membanting tulang membantu keluarga mencari wang bagi menampung yuran persekolahan.

Menurut anak jati kelahiran Tamparuli, Sabah itu, dia juga pernah menoreh dan menjual getah sekerap semata-mata untuk membayar yuran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tidak setakat itu, dia juga terpaksa menumpang di rumah saudara-mara atau kenalannya untuk memudahkan urusan persekolahannya kerana tinggal jauh di pedalaman.

“Rumah saya jauh dalam hutan belantara. Kami sekeluarga tinggal di kawasan pedalaman.

“Sebab itu dari sekolah rendah sampai sekolah menengah, masa saya banyak dihabiskan dengan menumpang di rumah orang lain.

“Tambahan pula, jarak rumah saya ke sekolah sejauh 30 kilometer.

“Bagi jimatkan masa dan tenaga, saya menumpang di rumah orang,” katanya memulakan bicara bersama Aura.

Akuinya, cebisan pengalaman yang dilalui selama ini telah membentuk karakternya ketika ini.

CATHERINE (dua dari kiri) berjaya bangkit daripada kesusahan hidup yang dialami.

Ujarnya, pengalaman lalu telah menjadikannya seorang wanita yang berhati kental dan tabah hingga berjaya menyambung pelajaran di sebuah universiti di Sarawak.

Katanya, ketika menyambung pengajian tersebut, dia pernah gagal dalam satu subjek.

Disebabkan itu, dia terpaksa menyambung pelajaran di Shah Alam, Selangor serta melupakan seketika niat untuk balik ke Sabah, selepas tamat pengajian.

“Perkara tersebut telah mengubah rancangan asal saya sebelum ini untuk pulang semula ke Sabah.

“Saya terpaksa retake (mengulang) satu subjek yang gagal di kampus Shah Alam. Ketika melanjutkan pengajian di sana, saya juga bekerja secara sambilan di Klang.

“Semasa berada di Semenanjung, saya bertemu jodoh dengan seseorang. Tapi perkahwinan kami simple sahaja.

“Kami hanya mendaftarkan perkahwinan di pejabat kerajaan dan tidak ada majlis resepsi dibuat,” katanya yang mengidamkan untuk mengadakan sebuah majlis kahwin besar-besaran kelak.

Ceritanya, selepas bernikah, dia meneruskan kehidupan bersama suami di Semenanjung sambil bekerja di sebuah syarikat audit.

“Namun, satu peristiwa sedih menimpa saya ketika mengandungkan anak pertama kami.

“Saya dipecat oleh majikan dan masa itu pula saya sedang menghadapi masalah kewangan.

“Insurans kereta saya juga sudah tertunggak selama tiga bulan,” ujarnya.

Dalam keadaan serba buntu itu, Catherine berkata, dia nekad pulang ke kampung halamannya di Tamparuli kerana mahu memotong getah.

“Sampai di Sabah, saya kembali memotong getah di kebun. Namun, suami saya berada di Kuala Lumpur, jadi hasrat saya itu jadi terbantut.

“Akhirnya, saya terbang semula ke Semenanjung untuk kembali menetap bersama suami setelah beberapa bulan di kampung,” katanya.

Sebaik sahaja pulang ke ibu negara, dia dan suami berbincang tentang masa depan mereka.

Hasil perbincangan itu, mereka memutuskan untuk mencari rezeki melalui perniagaan dengan menawarkan khidmat cetakan bungkusan plastik.

Akuinya lagi, mereka sebenarnya tidak ada langsung pengalaman dalam bidang perniagaan.

Tambahnya, dengan berbekalkan keazaman dan keyakinan, mereka nekad membuka perniagaan itu.

Catherine mengakui, perjalanan perniagaan mereka pada peringkat awal sangat berliku dan tidak mudah.

Ujarnya, ia memerlukan ketahanan mental yang tinggi terutama untuk menarik pelanggan menggunakan perkhidmatan mereka.

“Bayangkan, pada masa itu saya ketuk semua pintu kedai untuk bertanyakan jika mereka mahu mencetak bungkusan plastik.

“Tapi ramai yang tidak mahu. Malah, ada pula yang menganggap saya warga asing kerana dialek Sabah terlalu pekat.

“Saya akui memang susah juga mahu mencari pelanggan.

“Jadi, saya terpaksa pergi dari satu kedai ke satu kedai selama hampir tiga bulan,” katanya.

Tanpa mengenal penat dan lelah, usaha Catherine akhirnya berhasil apabila sebuah farmasi yang memiliki 41 buah cawangan telah bersetuju untuk menggunakan perkhidmatan ditawarkan oleh syarikatnya.

Dari situlah, perniagaannya mula berkembang sehingga dia mampu membuka dua buah kilang di Puchong, Selangor selepas beberapa tahun berniaga.

Demi mengembangkan lagi syarikatnya, Catherine mengambil langkah membuka kilang ketiga di Sungai Petani, Kedah.

Sangkaannya kilang baharunya itu akan memberikan pulangan yang lebih banyak dan lumayan, tetapi ia ternyata silap.

Ini kerana ramai pelanggan menghilangkan diri, sekali gus menyebabkan perniagaannya mengalami kerugian.

Pun begitu, dia dan suami menerima ketentuan tersebut sebagai satu ujian dan cabaran untuk mematangkan mereka dalam perniagaan.

Bagaimanapun, hasil usaha dan kerja keras Catherine dan suami selama ini, perniagaan yang dijalankan semakin maju dan berdaya saing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI