DENVER, COLORADO – Seorang lelaki miang dilaporkan bersembunyi di sebuah kawasan pendakian di negeri Colorado dan cuba mencabul wanita yang melakukan aktiviti pendakian secara bersendirian, lapor akhbar New York Post semalam.
Lelaki yang identitinya belum dikenal pasti itu muncul dan berkelakuan tidak senonoh terhadap sekurang-kurangnya tujuh mangsa berbeza dalam beberapa serangan yang menjadi semakin agresif sejak April lalu.
Kebanyakan serangan berlaku di Taman Flying J Ranch di Conifer iaitu sebuah komuniti yang terletak kira-kira 48 kilometer ke barat daya pusat bandar Denver.
“Dalam setiap insiden, suspek berlari ke dalam hutan selepas melakukan perbuatan tidak senonoh di hadapan pendaki wanita untuk mengelakkan daripada ditangkap,” kata Pejabat Syerif Jeffco.
Suspek yang masih bebas itu mula aktif sejak 3 April lalu apabila dia muncul dalam keadaan bogel di hadapan seorang pendaki wanita sambil melakukan serangan seksual.
Dia meneruskan perbuatan itu pada 13 Jun lalu dan dalam beberapa kejadian lain, menyasarkan pendaki wanita solo dengan melakukan aksi tidak senonoh termasuk menyerang mangsa secara seksual.
Setakat ini, suspek digambarkan sebagai seorang lelaki berkulit putih, berumur antara 20 hingga 30 tahun, berbadan sasa serta memiliki rambut berwarna gelap.
Polis masih memburu suspek dan dalam masa sama memberi amaran kepada pendaki wanita agar tidak mendaki secara berseorangan serta sentiasa berwaspada. – Agensi