BRASILIA, BRAZIL – Seorang lelaki di Brazil membatalkan niatnya untuk merompak seorang wanita selepas jatuh cinta pandang pertama kepada gadis tersebut ketika melihat gambarnya dalam telefon bimbit yang dicuri, lapor akhbar New York Post semalam.
Berdasarkan video yang tular di laman Twitter, lelaki tersebut dan wanita yang kini menjadi kekasihnya, Emanuela, berkongsikan kisah cinta mereka yang bermula daripada kejadian rompakan.
“Saya sedang melalui sebatang jalan apabila dirompak secara tiba-tiba,” kata Emanuela ketika ditemu bual oleh wartawan.
Tambah wanita tersebut, teman lelakinya yang namanya tidak dinyatakan itu kemudian terlihat gambarnya pada telefon bimbit yang dicuri.
“Dia memberitahu saya bahawa dia yang sebenarnya menjadi mangsa kecurian (mencuri hati),” katanya.
Teman lelaki Emanuela menambah, hatinya berubah secara tiba-tiba ketika mencuri telefon bimbit wanita tersebut selepas melihat gambarnya.
“Apabila saya melihat gambarnya pada telefon bimbit, saya berkata kepada diri saya ‘dia gadis berambut coklat yang sangat cantik’. Saya kemudian berasa menyesal mencuri daripadanya,” ujar lelaki itu.
Kedua-dua mereka kemudian berkenalan dan menjalinkan hubungan cinta sehingga kini, iaitu selama dua tahun.
Video tersebut tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Cinta boleh mengatasi segalanya,” kata seorang pengguna media sosial.
“Brazil bukan untuk amatur,” kata pengguna lain. – AGENSI