SHAH ALAM – Bank Negara (BNM) pastinya tidak akan menaikkan Kadar Dasar Semalam (OPR) secara melulu sebaliknya mengambil kira pelbagai faktor dalam penentuan kadar tersebut.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara faktor diambil kira
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank itu termasuk melihat kadar inflasi yang dicatatkan Malaysia dalam tempoh tertentu.
“Kalau kita lihat sejarah, kadar OPR paling tinggi yang pernah dicatatkan negara ini adalah 3.25 peratus manakala paling rendah adalah 1.75 peratus iaitu ketika pandemik Covid-19.
“BNM tetapkan kadar OPR pada 3 peratus ketika ini setelah melihat keadaan ekonomi negara pada masa kini, yang dilihatnya semakin baik,” katanya selepas menghadiri majlis tandatangan kerjasama di antara pengendali aplikasi Lulus, CTOS dan CelcomDigi di hotel DoubleTree by Hilton di I-City, di sini, hari ini.
Media semalam melaporkan saranan beberapa pakar ekonomi supaya BNM tidak menaikkan lagi OPR pada tahun ini ekoran kadar inflasi negara kini berada di julat yang sesuai, iaitu 2.4 peratus yang juga merupakan kadar terendah dalam tempoh enam bulan lalu.