KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukan RM10 juta bagi memudah cara proses pendaftaran dan memperluas program pemutihan taska serta pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, ia merupakan antara usaha bagi menggalakkan para ibu untuk kembali bekerja ekoran jurang jantina dalam pasaran buruh negara.
“Sebagai salah satu inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy), usaha segera termasuklah menyediakan pusat jagaan kanak-kanak mampu milik yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan.
“Kerajaan juga akan memudah cara proses pendaftaran dan memperluas program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara dengan peruntukan
RM10 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, di sini, hari ini.
Menurut beliau, matlamat negara adalah meningkatkan kadar penyertaan buruh wanita mencecah 60 peratus supaya setanding dengan ekonomi serantau.
“Tidak boleh dinafikan bahawa penyertaan buruh wanita dalam negara masih di tahap rendah sekitar 55.5 peratus, ketimbang lelaki, 80.9 peratus.
“Perlunya usaha tuntas dari aspek perundangan dan kawal selia serta program sokongan untuk tingkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan.
“Ini termasuk menangani isu sistemik seperti kerja-kerja penjagaan tanpa gaji, diskriminasi jantina serta dasar sokongan keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE