PUTRAJAYA – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, Datuk Harrison Hassan digugurkan keahlian UMNO secara automatik.
Itu pengesahan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Pelucutan keahlian itu dibuat selepas Harrison dinamakan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Jeram di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau langsung tidak terkejut dengan tindakan Harrison itu kerana khabar angin mengenainya (bertanding calon PN) sudah tersebar sebulan lalu.
Menurutnya, mengikut Perlembagaan UMNO dan peraturan Lembaga Disiplin UMNO, Harrison secara automatiknya tergugur sebagai ahli UMNO.
“Saya sudah dengar (khabar angin) sebulan lalu, jadi saya tidak terkejut dengan perkara itu. Kita hanya memerlukan ahli yang taat kepada parti, jika mereka lebih taat kepada parti lain maka, itu pilihan dibuat oleh individu berkenaan,” katanya.
Ditanya sama ada Harrison pernah memohon untuk keluar daripada UMNO, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak dapat maklumat itu sebaliknya hanya mendengar khabar angin beliau (Harrison) akan bertanding atas tiket parti lain.- KOSMO! ONLINE