fbpx

Anak Salahuddin kongsi cerita keluarga pernah makan nasi berlauk keropok, hutang beli susu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fatihah (kanan) berkongsi gambar kenangan bersama Allahyarham bapanya.

PETALING JAYA – Pernah merasa makan nasi berlaukkan keropok tanpa protein seperti daging dan ayam serta terpaksa berhutang susu ketika anak-anak masih kecil.

Itu perkongsian anak kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Fatihah Salahuddin melalui Facebooknya hari ini.

Menurut Fatihah yang juga merupakan seorang peguam, kesusahan yang pernah dilalui oleh keluarganya itu dipercayai mendorong Allahyarham bapanya itu untuk bekerja keras dan memastikan agar rakyat tidak berlapar.

“Kami membesar dengan didikan mak dan ayah yang mengajar kami untuk mengenal nilai. Bukan untuk mengenal pangkat dan harta.

“Kami bukanlah asal-asal keluarga senang. Kami juga pernah merasai erti kesusahan dan kesempitan.

“Terpahat di memori apabila ayah bawa kami lima beradik naik motor pergi kedai untuk belanja kami jajan dan aiskrim. Selalunya kalau ayah tiada di rumah, kami hanya dapat 30 sen untuk belanja jajan daripada emak,” katanya.

Menurut Fatihah, Salahuddin sebelum ini pernah mengatakan mahu meninggal dunia ketika sedang bekerja.

“Kadang-kadang ayah keluar makan dengan kawan-kawan ayah called “jom makan”. Dua bulan lepas ayah ada ajak makan masa tu dengan Datuk Mohd Azis Jamman . Kebetulan pada ketika itu kami berbual tentang kenapa ahli politik sukar untuk pencen.

“Ayah secara spontan jawab “ahli politik tak boleh pencen. Kalau dia pencen, otak dia tak gerak tak tahu nak fikir apa sebab tu saya selalu berdoa kalau saya pergi, biarlah dalam keadaan saya bekerja begini”,” ujarnya.

Katanya, Allahyarham memang seorang yang bersikap lembut dan jarang marah malah sentiasa menggunakan pendekatan ‘slow talk’ sekiranya mahu menasihati anak-anaknya.

“Ayah selalu akan panggil kami bergilir-gilir masuk ke bilik supaya dia boleh one to one dengan kami.

“Selalunya kami agak cuak bila sesi begini berlaku sebab selalunya ianya berlaku bila kami buat masalah. Tetapi tidak, kadang-kadang dia hanya bertanya “belajar semua macam mana? Ok?”. Selalunya dia akan selit untuk titip nasihat selepas itu.

“Mungkin kerana dia jarang berada di rumah dan masa itulah dia guna untuk nasihatkan kami untuk tidak menyusahkan emak,” katanya.

Terdahulu, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI