KUALA SELANGOR – Kementerian Pertahanan masih menunggu laporan lengkap siasatan dalaman kes pelatih kursus Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa menjadi mangsa pukul dalam kejadian buli di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 April lalu.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, pihaknya setakat ini belum menerima laporan daripada jawatankuasa khas siasatan tersebut dan kementerian memandang serius perkara seumpama itu terutama melibatkan kes buli dan kecederaan.
“Kita sememangnya mempunyai jawatankuasa bagi membuat penilaian dan laporan itu akan dimaklumkan kepada Mesyuarat Tertinggi kementerian.
“Setakat ini kita belum menerima laporan itu dan masih dalam proses siasatan sebelum dihebahkan kelak,” katanya ketika ditemui pada program Peduli Veteran Peringkat Selangor di Pasir Penambang di sini, hari ini.
Kosmo! pada Mei lalu melaporkan polis mengesahkan terdapat empat lagi pelatih kursus TUDM didakwa menjadi mangsa pukul dalam kejadian buli itu.
Kesemua pelatih itu dikatakan mendedahkan perkara tersebut ketika disiasat berhubung kes buli yang dilaporkan lebih awal oleh keluarga seorang pelatih.-KOSMO! ONLINE