GEORGE TOWN – Kontroversi mengenai pencalonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau mungkin berakhir apabila namanya dikatakan disenarai sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubuk.
Nama Dominic yang juga Presiden Gerakan itu tersenarai dalam calon baharu yang diedarkan kepada media di sini hari ini.
Pada majlis pengumuman calon PN oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee malam tadi, nama Dominic tidak diumumkan bertanding di mana-mana kerusi manakala calon asal yang diumumkan di kerusi Machang Bubuk ialah Tan Hum Wei juga dari Gerakan.
Sementara itu, berdasarkan senarai baharu calon PN yang diterima media hari ini, Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dinamakan sebagai calon DUN Bayan Lepas.
Bagaimanapun, Iszuree berkata, setakat pukul 12 tengah hari dia masih belum menerima apa-apa maklumat mengenai namanya yang dikatakan sebagai calon PN bagi kerusi DUN Bayan Lepas.- KOSMO! ONLINE