KUALA NERUS – Lebih 100 rumah di Seberang Takir di sini rosak dipukul ribut malam tadi.
Kejadian antara pukul 6.45 petang hingga 7 malam itu antara terburuk pernah melanda mukim berkenaan dalam tempoh hampir 40 tahun.
Antara perkampungan terlibat ialah Telaga Daing, Teluk Ketapang, Kampung Baru Seberang Takir, Telaga Batin, Taman Sri Batin, Kampung Tok Beng dan Kampung Tok Jembal.
Salah seorang mangsa, Kamaruddin Jusoh, 69, berkata, dia dan enam ahli keluarganya ketakutan apabila rumah kayu didiami mereka bergegar akibat dipukul angin kencang.
“Satu persatu atap rumah saya diterbangkan angin dan hujan mula mencurah membasahi sebahagian besar bilik dan ruang tamu rumah kami.
“Isteri dan anak-anak perempuan menangis ketakutan. Saya melaungkan azan berharap angin lintang itu berhenti segera,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Telaga Daing di sini hari ini.
Dalam pada itu, penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pembaikan membetulkan kerosakan atap penduduk terjejas akan dilakukan secepat mungkin secara bergotong-royong. – KOSMO! ONLINE