KUALA LUMPUR- Konsep Payung Rahmah akan terus diperkukuh dalam usaha menangani cabaran kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, ia sebagai salah satu usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar, tahun ini.
“Usaha telah digerakkan melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) supaya isi rumah miskin tegar punyai peluang tingkatkan pendapatan dan tidak semata-mata terima bantuan tunai langsung.
“Konsep Payung Rahmah cetusan idea Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan terus diperkukuh,” katanya ketika berucap di Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan itu berkata, kesungguhan Allahyarham menangani bebas sara hidup rakyat menjadi pencetus semangat kepada semua pemimpin.
“Semua yang mengenali beliau amat terkesan pemergian tokoh hebat ini.
“Kerja keras dan kesungguhan beliau menangani beban sara hidup rakyat akan menjadi pembakar semangat untuk kita semua melakukan yang terbaik untuk Malaysia tercinta,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE