fbpx

Hafidz Roshdi, Shuhada sah bercerai talak satu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafidz dan Shuhada ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini. Foto oleh Afiq Razali.

SHAH ALAM – Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini mengesahkan lafaz cerai talak satu yang dibuat pelakon Hafidz Roshdi terhadap isterinya Shuhada secara lisan pada 22 Februari lalu adalah sah dan mengikut hukum syarak.

Dengan itu, Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin mensabitkan berlaku penceraian talak satu yang mana keputusan itu dibuat selepas mahkamah telah meneliti permohonan dan keterangan daripada kedua-dua belah pihak dalam perbicaraan sebelum ini.

“Selepas mahkamah mendengar pemohonan keterangan dan pengakuan kedua-dua belah pihak secara teliti mahkamah mengesahkan lafaz cerai pada 22 Februari secara lisan (Hafidz) adalah sah mengikut hukum syarak manakala lafaz cerai 22 Januari tidak menjatuhkan talak. Maka jatuhlah talak satu kali pertama terhadap defendan (Shuhada)” kata hakim syarie itu.

Kes penceraian itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mana Hafidz selaku plaintif dan Shuhada sebagai defendan.

Dalam prosiding hari ini Hafidz diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Shuhada diwakili peguam syarie Nurfarhana Abd. Manaf.

Terdahulu, dalam perbicaraan sebelum ini, Hafidz memberitahu bahawa lafaz cerai yang dibuat terhadap Shuhada hanya berlaku sekali dan bukan dua kali.

Hafidz dalam keterangannya berkata lafaz cerai itu hanya dibuat pada 22 Februari 2023 melalui perbualan telefon pada pukul 11.40 malam yang mana lafaz itu adalah “Saya ceraikan awak talak satu Nurul Shuhada Binti Mat Shukri,” katanya.

Menurut Hafidz ketika lafaz dibuat, dia dalam keadaan waras, sihat berserta dengan niat yang mana ketika lafaz cerai itu dia berada di Shah Alam Selangor, manakala Shuhada berada di Perlis.

“Saya menafikan telah melafazkan cerai menggunakan aplikasi ‘Whatsapp’ pada Januari lalu sebaliknya hanya melafazkan cerai pada Februari, “katanya.

Sementara, Shuhada pula selaku defendan dalam keterangannya kekal dengan pendirian mengatakan Hafidz melafazkan cerai terhadapnya sebanyak dua kali.

“Kali pertama pada 22 Januari 2023 menggunakan aplikasi ‘Whatsapp’ iaitu “Saya lepaskan awak” manakala kali kedua pada 22 Februari melalui panggilan telefon,” kata Shuhada.

Untuk rekod, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi , 29, dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, di sini.

Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.22 pagi pada 2 Mac lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI