KULIM – Seorang wanita dari Taman Tiram Indah, Paya Besar di sini nekad berhenti kerja bagi menjaga ibunya yang terlantar akibat serangan angin ahmar sejak dua tahun lalu.
Menurut Norfarliana Azahari, 26, dia berbuat demikian setelah melihat pengorbanan bapanya, Azahari Harun, 61, yang terlebih dahulu menjaga ibunya, Siti Fatimah Md. Zin, 58, seorang diri.
“Saya buat keputusan berhenti kerja sebagai kakitangan sumber manusia di sebuah syarikat swasta kerana ibu memerlukan perhatian dan penjagaan rapi sepanjang masa,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Sebelum ini, bapanya menguruskan ibu sepanjang masa terutama pada waktu siang, sementara dia pula menjaga wanita tersebut pada waktu malam.
“Saya kasihan dengan bapa dan setelah berbincang, saya nekad berhenti kerja untuk menjaga ibu,” ujarnya.
Anak bongsu daripada dua beradik itu mengakui banyak cabaran perlu ditempuhnya, namun dia cekalkan hati demi ibu tersayang.
Sementara itu, Azahari yang merupakan pesara tentera berkata, penjagaan isterinya kini bergantung sepenuhnya kepada Norfarliana termasuk menyediakan makan minum serta kebersihan diri.
Sebelum ini, dia dan isteri menjalankan perniagaan nasi lemak di kawasan berhampiran. Selepas isteri diserang angin ahmar, mereka bergantung kepada wang pencen dan pemberian anak lelakinya yang bekerja di Kuala Lumpur.
Lelaki itu bernasib baik kerana isterinya mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 yang digunakan untuk membeli susu, ubat-ubatan dan lampin pakai buang.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Azahari di talian 019-593 4577 atau menyalurkan ke akaun Hong Leong Bank bernombor 25951003182 atas nama Azahari Harun.